Bayangkan ini. Dunia dengan naga, dan anda mempunyai kemahiran untuk menjinak menunggangnya. Itulah premis terbaru yang menjadi fokus sekuel kepada filem How to Train Your Dragon yang pertama kali menjengah pawagam pada tahun 2010. Filem pertama bertemakan konflik kewujudan bersama antara manusia dan naga dan telah berjaya merungkai persoalan tersebut pada klimaks filem tersebut. Filem kedua ini membawa tema yang agak berbeza. Namun begitu, keterujaan yang cuba digarapkan di dalam filem ini menandingi filem pertama, bahkan lebih lagi pada segmen-segmen tertentu.
Berlatar belakangkan kampung Berk 5 tahun setelah filem pertama berakhir, kini naga-naga yang merupakan golongan antagonis satu ketika dahulu telah berjaya dijinakkan dan menjadi sebahagian daripada komuniti Berk dalam kehidupan mereka sehari-hari. Hiccup kini meningkat dewasa bersama-sama teman-temannya Snotlout, Ruffnut, Tuffnut, Fishlegs dan juga Astrid. Jika dahulu, penduduk Berk sering berkonfrontasi dengan naga-naga, tetapi kini tidak lagi. Naga-naga tersebut tidak lagi menjadi permasalahan utama penduduk Berk. Malahan, kini mereka mempunyai permainan baru di mana mereka berlawanan dalam meragut kambing menggunakan naga mereka.
Watak Hiccup masih lagi watak yang anda kenal dan sayangi. Merendah diri dan handal dalam penciptaan. Kini, di samping menempa ekor palsu yang dibuat khas untuk naga peliharaannya Toothless, Hiccup mempunyai beberapa ciptaan baru untuk melengkapi penunggangannya sebagai seorang penunggang naga. Apa yang saya boleh katakan adalah filem ini mempunyai skala yang lebih besar daripada filem yang pertama. Hiccup kerap melakukan penggembaraan merentasi daratan dan lautan; cuba memetakan kawasan baru yang beliau jejaki. Konflik peribadi yang dialami pada siri yang pertama masih lagi berlegar-legar sekitar filem ini. Kali ini, Hiccup telah didesak oleh ayahnya, Stoic the Vast untuk menyambung legasinya sebagai pemimpin Berk bagi memastikan keharmonian penduduk Berk kekal dan terjamin.
Namun begitu, Hiccup kelihatan tergugah dengan tanggungjawab baru ini. Dia masih lagi tidak dapat menempatkan dirinya sebagai seorang ketua yang bakal menyambung kerja yang dimulakan oleh ayahnya. Pada saat inilah muncul seorang figura, Valka yang setelah sekian lama menyepikan diri daripada hadir dalam kehidupan Hiccup. Saya tidak mahu menyajikan anda dengan plot terperinci atau pun "spoiler"; pada pandangan saya adalah lebih baik anda mengalami sendiri plot filem ini yang saya rasakan cukup kemas dan menarik.
Jika dibandingkan dengan filem pertama, filem kedua dalam siri yang dirancangkan sebagai suatu trilogi ini membawakan tona yang lebih berat dan gelap, bersesuaian dengan peningkatan usia watak-watak utama. Titik fokus filem ini yang boleh saya simpulkan adalah bertemakan "menggalas tanggungjawab". Banyak adegan yang dipersembahkan di dalam filem ini menghujankan kita dengan persoalan - persoalan sekitar pengorbanan, usaha keras dan kematangan individu. Hiccup dihadapkan dengan situasi yang memerlukan dia bersifat realistik dan bertindak sebagai seorang pemimpin.
Jika dibandingkan dengan filem pertama, filem kedua dalam siri yang dirancangkan sebagai suatu trilogi ini membawakan tona yang lebih berat dan gelap, bersesuaian dengan peningkatan usia watak-watak utama. Titik fokus filem ini yang boleh saya simpulkan adalah bertemakan "menggalas tanggungjawab". Banyak adegan yang dipersembahkan di dalam filem ini menghujankan kita dengan persoalan - persoalan sekitar pengorbanan, usaha keras dan kematangan individu. Hiccup dihadapkan dengan situasi yang memerlukan dia bersifat realistik dan bertindak sebagai seorang pemimpin.
Inilah satu contoh filem sekuel yang cemerlang. Ia mengambil dan mengadaptasi elemen - elemen yang membuatkan filem pertama begitu menarik; dan mengembangkan mereka dengan plot kohesif yang lebih besar daripada pendahulunya. Hasilnya sebuah filem yang cukup menarik dan amat menyeronokkan untuk ditonton. Tiada adegan di dalam filem ini yang dirasakan tidak perlu. Semua adegan digarap secara kemas dengan setiap transisi daripada adegan ke adegan membuatkan anda sentiasa terpaku ke kerusi penonton; tidak sabar untuk mengetahui bagaimanakah plot seterusnya akan dirungkaikan.
Sesuatu yang saya cukup kagum dengan filem How To Train Your Dragon 2 ini adalah bagaimana tingginya kualiti visual yang dipersembahkan di dalam filem ini. Dalam satu adegan yang memaparkan sebuah kawasan perlindungan naga, kelihatan beratus-ratus ekor naga sedang mengelilingi kawasan tersebut dirakamkan di skrin layar. Kesan visualnya begitu hebat dibantu dengan teknik penataan cahaya dan tona warna yang penuh bertenaga. Kesan visualnya cuba ditonjolkan secara maksimum dalam beberapa adegan yang melibatkan penunggangan naga merentasi angkasa. Ia cukup mengujakan; seolah-olah filem ini cuba membawa anda sama-sama merasai pengalaman terbang di udara.
Pujian harus diberikan kepada pengarah dan juga penulis filem ini, Dean Deblois yang telah berjaya menggarapkan sebuah filem sekuel yang cukup hebat. Skripnya kemas dalam membangunkan trajektori filem ini. Demikian juga dengan penjiwaan watak - watak utama filem ini. Jay Baruchel, sekali lagi membuat penampilan sebagai Hiccup; menjiwai perwatakan seorang pemuda yang sedang meningkat dewasa namun dilanda konflik dalaman. Pada hemat saya, beliau berjaya membawakan watak tersebut yang pada mulanya digambarkan sebagai seorang yang genius dalam rekacipta tetapi kurang utuh daripada segi keyakinan diri. Begitu juga dengan watak-watak lain yang mewarnai filem ini. Saya tertarik dengan persembahan Gerard Butler dan juga Cate Blanchett (masing-masing membawakan watak Stoic the Vast dan Valka) kerana telah memberi persembahan yang cukup mengagumkan. Mereka berjaya mencuri perhatian saya dengan loghat Norway yang cukup mencuit hati.Djimon Hansou yang menyuarai watak Drago Bloodfist juga tidak kurang hebatnya. Beliau berjaya mencuri perhatian penonton dengan memberikan persembahan yang menggerunkan pada babak-babak tertentu yang sungguh menjengkelkan bersesuaian dengan peranannya sebagai antagonis utama filem ini.
Skor muzik sekali lagi menjadi salah satu puncak filem ini. Susunan skor yang merdu melengkapkan pengalaman menonton; menambahkan keterujaan dan perasaan epik pada setiap adegan. Saya amat meminati skor di dalam filem ini sebagaimana skor filem pertama dalam trilogi ini.
Skor muzik sekali lagi menjadi salah satu puncak filem ini. Susunan skor yang merdu melengkapkan pengalaman menonton; menambahkan keterujaan dan perasaan epik pada setiap adegan. Saya amat meminati skor di dalam filem ini sebagaimana skor filem pertama dalam trilogi ini.
Sesuatu kekurangan yang sedikit mencacatkan plot ini adalah daripada segi perkembangan wwatak antagonisnya, Draco Bloodfist. Tidak banyak yang diketahui berkenaan dengan kisah di sebalik watak ini; dan motifnya di sepanjang filem ini saya kira agak lemah. Tapi ini merupakan satu kritikan kecil jika dibandingkan dengan semua titik tinggi filem ini.
Secara keseluruhan, filem How To Train You Dragon 2 ini merupakan suatu filem animasi yang sungguh luar biasa pencapaiannya. Ia menyentuh semua titik tinggi daripada segi plot, skrip, visual, adegan aksi, skor muzik dan penjiwaan watak. Semua ini dibawakan dalam satu pakej yang hampir sempurna. Jika anda boleh melepaskan pandanngan sedikit terhadap beberapa kelemahan - kelemahan kecil filem ini, saya yakin anda pasti akan terhibur dengan siri kali ini yang sama hebat sebagaimana siri sebelumnya.
Skor : 9.5/10










Good info...
ReplyDeleteYou are invite to my blog http://mamapapaamir.blogspot.com